Search

Pages

Thursday, November 6, 2008

Rakyat diminta sedia hadapi 2009 - Najib

di petik dari utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya bersedia untuk berhadapan dengan tahun 2009 yang diramal menjadi tempoh sukar berbanding dengan apa yang dilalui tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, namun dengan kekuatan ekonomi dalaman yang ada, kerajaan sekali lagi berkeyakinan bahawa ekonomi negara mampu mengelak daripada kemelesetan.

''Kita masih mempertahankan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan pada tahun depan. Insya Allah kita masih boleh.
''Kalau nak kata kemelesetan teknikal maknanya dua suku, pertumbuhan kita negatif. Kita tidak lihat perkara ini akan berlaku pada tahun hadapan melainkan ada sesuatu yang amat luar biasa kepada ekonomi luaran,'' kata beliau.

Najib berkata demikian semasa temu bual khas dengan RTM mengenai pakej rangsangan fiskal kerajaan bagi Bajet 2009 yang disiarkan di TV2 di sini malam ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dalam masa sama keyakinan itu bukanlah bermakna yang kerajaan terlalu optimis kerana Malaysia juga tidak dapat lari daripada menerima bahang atau tempias krisis ekonomi global.

Namun kata beliau, bahang itu tidak akan menjadi seteruk yang mungkin dihadapi oleh sesetengah negara lain memandangkan Malaysia mempunyai fundamental ekonomi yang kukuh.
''Tidak (tidak terlalu optimis). Kalau kita terlalu optimis kita tidak buat pelan suntikan dan rangsangan fiskal ini,'' jelasnya.

Tambah Najib, kerajaan juga amat realistik apabila mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 3.5 peratus untuk tahun hadapan walaupun diketahui bahawa 2009 akan menyaksikan keadaan yang tidak sebaik tahun ini.

Menurutnya, selagi tiada tekanan luar biasa daripada ekonomi luaran, unjuran itu tetap diyakini masih mampu dicapai walaupun ada pihak tertentu yang cuba menyangkal kemampuan tersebut.

''Kalau satu tekanan yang begitu hebat, itu lain cerita tetapi dalam keadaan yang kita dapat lihat, keadaan yang menurun dan tidak begitu teruk, kita masih boleh mencapai 3.5 peratus,'' ujarnya.
Kata Najib, sekiranya semua pihak berganding bahu dan mempunyai permuafakatan lebih jitu untuk menangani kesan krisis kewangan global, beliau percaya lebih mudah untuk menangani krisis itu.

''Kita sudah memberi penjelasan mengenai kemungkinan keadaan ekonomi tahun depan tidak sebaik tahun ini.

''Itu satu pengakuan, maknanya kita realistik. Kita bukanlah menafikan dan kita harap dengan adanya kekuatan dalaman ekonomi negara, kita masih boleh bertahan lagi dan kalau ekonomi luaran pulih ada kemungkinan 2010 lebih baik daripada 2009,'' kata beliau.

0 comments: